Scoop Masthead

‘Kami tak pernah serah notis pada anak Saravanan’: SPRM tempelak naratif kurang tepat

Featured

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan pihaknya tidak pernah menyerahkan sebarang notis pengisytiharan harta kepada anak bongsu bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang baru berusia 12 tahun.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman menempelak laporan media dan persepsi pihak tertentu yang mengesahkan agensi itu menuntut kehadiran fizikal kanak-kanak berkenaan Isnin lalu sebagai tidak tepat.

Mengulas polemik berkenaan, beliau menjelaskan SPRM menggunakan pertimbangan budi bicara yang rasional bagi mengecualikan kanak-kanak daripada diserahkan sebarang notis pengisytiharan.

“Saya ingin maklumkan di sini berkenaan isu penyerahan notis kepada anaknya yang berusia 12 tahun itu, sebenarnya pihak kami tidak menyerahkan notis kepada kanak-kanak berkenaan.

“Walaupun di bawah undang-undang tidak disebut secara khusus perundangan berkenaan dengan kategori umur (dewasa atau kanak-kanak) bagi terma saudara atau sekutu, kita menggunakan budi bicara dan istilah munasabah, maka kita putuskan untuk tidak menyerahkan notis itu kepada anak beliau yang berumur 12 tahun,” katanya pada sidang media sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-59 di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya hari ini.

Mengulas kehadiran kanak-kanak terbabit bersama Saravanan dan isteri di ibu pejabat agensi itu Isnin lepas, Abd Halim menegaskan tiada sebarang arahan dikeluarkan yang memaksa kanak-kanak itu hadir secara fizikal.

“Tidak, itu tidak dikatakan datang secara fizikal (dipanggil)… lebih kepada ibu bapa yang bawa anak-anak dia.

“Mungkin nak tinggalkan di rumah tak ada orang dan sebagainya, jadi maknanya bawa datang itu biasalah,” katanya menepis naratif kononnya timbul unsur paksaan.

Abd Halim turut memperincikan bahawa notis pengisytiharan harta berkenaan sebenarnya dikeluarkan di bawah Seksyen 36(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA), bukannya di bawah Akta SPRM.

Di bawah akta AMLA, tempoh asas selama sebulan diberikan kepada mana-mana individu untuk membuat pengisytiharan harta selepas receiving notis, dan permohonan lanjutan tempoh boleh dipertimbangkan sekiranya mempunyai alasan munasabah.

Langkah pengeluaran notis itu dibuat susulan siasatan berterusan terhadap Ahli Parlimen Tapah berkenaan yang kini mendepani tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung penerimaan suapan hampir RM1.09 juta berkaitan kelulusan kuota 1,000 pekerja asing. – 1 Oktober, 2026