Scoop Masthead

MMA gesa kerajaan kembalikan BIW, dedah fenomena doktor tolak penempatan Sabah, Sarawak

Featured

KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendesak kerajaan supaya segera mengembalikan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) kepada kaedah peratusan asal, berikutan laporan mengejutkan mengenai sejumlah besar pegawai perubatan yang gagal melapor diri untuk penempatan tetap di Sabah dan Sarawak.

Presiden MMA, Dr Sivanaesan Letchumanan mendedahkan, dalam kejadian terbaharu pada 28 September lalu, sesetengah fasiliti kesihatan di Malaysia Timur langsung tidak menerima kehadiran pegawai perubatan baharu, manakala fasiliti lain mencatatkan kadar ‘gagal melapor diri’ yang amat tinggi antara 70 hingga 76 peratus.

Katanya, tindakan doktor menolak pelantikan tetap yang selama ini diperjuangkan menunjukkan wujudnya isu sistemik lebih mendalam yang gagal ditangani.

“Jawatan yang kosong tidak dapat merawat pesakit. Pelantikan tetap tanpa strategi pengekalan yang berkesan hanyalah sekadar angka di atas kertas,” tegas Dr Sivanaesan.

Beliau menambah, kegagalan menarik minat doktor berkhidmat di Malaysia Timur berpunca daripada pelbagai faktor bebanan, termasuk kos perpindahan yang tinggi, fasiliti kekurangan tenaga kerja, serta kemudahan penginapan yang tidak mencukupi.

Pelaksanaan BIW secara bayaran tetap ketika ini turut dilihat menjejaskan nilai insentif tersebut untuk menarik serta mengekalkan petugas kesihatan di sana.

Sehubungan itu, MMA mengemukakan beberapa tuntutan penting bagi memulihkan keadaan:

Kembalikan BIW Peratusan & Elaun Khas: Mengembalikan semula BIW berasaskan peratusan serta memperkenalkan Elaun Khas Perkhidmatan Malaysia Timur, bantuan perumahan, sokongan pengangkutan dan bonus pengekalan.

Rombak Bantuan Perpindahan: Mengkaji semula bantuan perpindahan agar mencerminkan kos sebenar dan diberikan sebelum doktor berpindah, bukannya menerusi tuntutan berbulan-bulan kemudian.

Jaminan Tempoh Penempatan: Ditetapkan tempoh penempatan yang jelas beserta mekanisme pertukaran kembali ke Semenanjung bagi memberi kepastian kepada doktor.

Ganjaran Kemajuan Kerjaya: Perkhidmatan luar bandar perlu diberi keutamaan bagi latihan pascasiswazah, laluan kepakaran dan kenaikan pangkat.

Kekurangan tenaga kerja ini turut disuarakan dalam perbincangan MMA bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian baru-baru ini.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2027, MMA turut mengulangi gesaan agar peruntukan sistem kesihatan awam ditingkatkan secara berperingkat kepada 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

“Rakyat Sabah dan Sarawak berhak mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang selamat dan tepat pada masanya. Kerajaan perlu bertindak segera kerana setiap kelewatan akan terus menambah beban doktor sedia ada serta memberi tekanan besar terhadap penjagaan pesakit,” katanya. – 1 Oktober, 2026