Tiada siapa mengatasi perlembagaan : Azalina

KUALA LUMPUR – Adalah tidak wajar untuk menggambarkan pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan sebagai tindakan ‘mengatasi undang-undang’, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, dalam pelaksanaan pengampunan, prinsip kedaulatan undang-undang tidak pernah dipertikaikan malah tiada individu, kerajaan atau institusi berada di atas undang-undang.
Tegasnya, Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi negara dan semua pihak juga tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan.
“Kuasa pengampunan bukanlah kuasa di luar undang-undang kerana ia merupakan kuasa yang diperuntukkan secara nyata oleh Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, Perkara 42 memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang diPertuan Agong serta menetapkan kerangka Lembaga Pengampunan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Azalina berkata demikian bagi menjelaskan beberapa perkara dari aspek undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan susulan kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Jumaat berhubung pengampunan.
Majlis Presiden PH dalam kenyataan itu menegaskan bahawa tiada siapa yang mengatasi undang-undang, dan sesiapa sahaja yang disabitkan kesalahan perlu menjalani hukuman mengikut lunas undang-undang seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Majlis Presiden PH tegas berdiri teguh dengan pendirian Perdana Menteri, dan juga nasihat daripada Peguam Negara serta Menteri Wilayah kepada Lembaga Pengampunan pada semalam,’’ katanya.
Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Mengulas lanjut, Azalina memberitahu keputusan kehakiman dan proses pengampunan adalah perkara yang berbeza di mana mahkamah menjalankan fungsi kehakiman dalam menentukan kesalahan dan hukuman.
Perkara 42 pula, katanya menyediakan mekanisme perlembagaan berhubung pengampunan, tunda hukuman atau lega hukuman.
Tambahnya, kewujudan kuasa pengampunan dalam Perlembagaan tidak bermakna keputusan mahkamah diketepikan atau seseorang individu berada di atas undang-undang.
“Setiap institusi mesti bertindak dalam ruang kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan. Peranan Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan Menteri yang berkaitan hendaklah dilihat berdasarkan peruntukan Perkara 42 dan prosedur yang ditetapkan, bukan melalui tafsiran atau persepsi politik.
“Kerajaan sebelum ini telah menjelaskan di Parlimen bahawa prosedur dan urusan sedia ada berkaitan Lembaga Pengampunan dilaksanakan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa,’’ katanya.
Justeru beliau meminta supaya semua pihak menghormati keputusan mahkamah, Perlembagaan dan proses yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. – 19 September, 2026
