Tun M singgah pusara arwah isteri selepas keluar IJN, sebak ketika mawar ditabur

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, terus menuju ke Pusara Negara Presint 20, Putrajaya bagi menziarahi kubur arwah isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Suasana hiba menyelubungi kawasan perkuburan sebaik sahaja Tun Mahathir tiba pada jam 11.05 pagi ditemani ahli keluarga, dalam perjalanan pulang dari IJN ke kediamannya.
Beliau yang kelihatan sangat sedih tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika memimpin doa serta menaburkan mawar merah di atas pusara arwah isteri tercinta sebelum berlepas pulang 15 minit kemudian.
Tun Mahathir sebelum ini dimasukkan ke IJN kelmarin bagi menjalani rawatan berkala dan pemantauan kesihatan.
Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff mengesahkan negarawan veteran itu mengalami keletihan melampau akibat tekanan serta tidak cukup tidur susulan pemergian isteri tercinta pada Isnin lalu.
Dalam pada itu, Pusara Negara terus menjadi tumpuan sanak saudara dan orang ramai yang hadir memberikan penghormatan terakhir serta menitipkan doa buat Allahyarhamah.
Awal pagi tadi, anak perempuan pasangan berkenaan, Datuk Seri Marina Mahathir bersama anaknya turut dilihat tiba di pusara kira-kira jam 10.05 pagi.
Kehadiran berterusan ahli keluarga dan masyarakat setempat menambah suasana pilu di perkarangan pusara Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah yang menghembuskan nafas terakhirnya Isnin lalu. – 1 Oktober, 2026
